Powered By Blogger

Friday, March 31, 2023

KIRANA

 

     Bukankah dari hari ke hari si Kirana itu sering termenung ke luar jendela kelas 5 Kalsom persis seorang isteri yang baru sahaja kehilangan suami .Benar juga apa yang dikatakan oleh Che Su berkaca mata  itu .Lama-kelamaan sikap termenungnya makin menjadi-jadi .Kadangkala ditegur oleh guru yang sedang mengajar di hadapan.Aku sebagai sahabatnya ini pun tidak mampu menafsir riak wajah mulusnya itu .Terlalu sulit untuk diungkapkan apa yang bermain di awang-awangannya itu .Mungkin saja dia terfikirkan arwah bapanya yang sudah meninggal setahun lalu atau keluarga tirinya sekarang .Entah yang mana satu tembakan aku ini ,mungkin ada betulnya salah satu atau kedua-duanya sekali .

     Tepat pukul 3 petang di jarum jam tanganku ,aku mengayuh basikal bersendirian usai tamat sesi pembelajaran di sekolah .Kebiasaannya akan ada peneman aku setiap kali pulang dari sekolah iaitu Kirana ,tetapi tidak untuk hari ini kerana dia pulang bersama kakak tirinya . Mahu tidak pulang memang mencari nahas oleh ibunya .Ibu si Kirana mungkin sudah berubah sejak pemergian suaminya atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Othman .Sejenak aku terfikir ,adakah ibu Kirana atau Cik Murni itu memang ibu kandungnya atau seakan-akan tiada beza dengan gelaran  ibu tiri .Ini semua bermain di fikiranku dek kerana sikap Cik Murni yang sudah berubah tidak seperti dahulu kala .Apa yang aku boleh buat sebagai  seorang sahabat ,sekadar mampu mendoakan yang terbaik untuk dirinya

      Setiap kali pulang ke rumah ,memang wajib untuk aku melalui  kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Sentosa  kerana jalan itulah yang paling dekat untuk aku sampai ke rumah dan yang paling penting tidak sesibuk jalan besar yang lebih jauh dari rumah aku .Kebiasaanya kawasan ini agak sunyi pada waktu petang kerana ramai penduduk kampung yang masih belum pulang daripada tempat kerja masing -masing .Tapi dari jauh kelihatan terdapat banyak kereta di luar kawasan tanah perkuburan itu dan sebaik saja aku melintasinya terdapat upacara pengebumian yang dijalankan di situ .Terfikir sejenak ,mungkin penduduk sini yang sudah meninggal dan mahu ditanam di tanah perkuburan tersebut .Tiba-tiba tidak disengajakan minda aku juga telah melayang kearah lain yang telah membawa aku ke peristiwa tahun lalu iaitu semasa pengebumian bapa Kirana .Arwah bapanya dulu juga dikebumikan di tanah perkuburan itu .

Setahun yang lalu ..

      Waktu petang di Kampung  Sentosa yang dilitupi awan mendung seakan-akan turut sama mengerti perasaan yang dialami oleh Kirana kerana waktu itulah jenazah bapanya mahu diturunkan ke dalam liang lahad .Mungkin aku tidak pernah merasai perasaan  yang dialami oleh Kirana kerana aku masih mempunyai bapa sehingga kini ,tetapi sedikit demi sedikit aku seakan-akan mengerti isi hatinya .Di dalamnya yang terkandung kata-kata yang tidak mampu diluahkan kepada khalayak ramai iaitu “inilah akan jadi kali terakhir aku melihat bapa”.Dari sisi kanan aku dapat melihat Kirana seakan-akan cuba untuk kuat tanpa mengalirkan air matanya tetapi di dalam sanubarinya mungkin sudah lama banjir .Cik Murni pula menangis teresak-esak mengenangkan suaminya itu .Kirana hanyalah satu-satunya anak yang arwah Pak Othman dan Cik Murni ada .Disebabkan itulah tidak kelihatan ahli keluarga lain kecuali adik beradik arwah sahaja di kawasan pengebumian itu .

     Setelah liang lahad ditutup rapat dengan beberapa papan dan semakin lama tanah dikambus semakin kecil penampakan liang lahad tersebut ,aku boleh lihat air mata Kirana telah gugur setitis demi setitis .Sehingga langsung tiada penampakan liang lahad tersebut ,makin mencurah-curah air mata Kirana .Hanya Allah sahaja yang mengerti bagaimana perasaan simpati aku terhadap Kirana kerana kehilangan bapanya itu .Usai pengebumian ,semua penduduk kampung beredar dari kawasan pengebumian tersebut tetapi satu inci pun tidak berganjak si Kirana itu seakan-akan tidak mahu meninggalkan bapanya .Melangkah juga Kirana setelah ditarik oleh ibunya dan emak saudaranya itu .Aku juga pulang ke rumah bersama keluarga .

       Ramai penduduk Kampung Sentosa yang bersimpati terhadap keluarga Kirana kerana arwah bapanya dulu seorang penduduk kampung yang sangat baik hati sifatnya itu .Arwah Pak Othman atau lebih dikenali sebagai orang kaya Othman sememangnya  suka menderma di Kampung Sentosa menyebabkan beliau sentiasa disanjung oleh penduduk kampung Sentosa mahupun kampung seberang .Arwah suka menderma kepada rumah anak yatim ,sekolah-sekolah dan sebagainya .Sumbangan yang paling besar pernah dilakukan oleh arwah ialah membina masjid baharu di Kampung Sentosa kerana masjid sedia ada telah usang berabad lamanya .Masjid At-Taqwa yang sentiasa dipenuhi dengan kemeriahan jemaah-jemaah masjid yang selalu hadir untuk menunaikan solat berjemaah sejak Subuh hingga Isyak bersama-sama.Yang paling terkilan dengan pemergian Pak Othman ialah Imam Sufian iaitu sahabat baik arwah sejak dari bangku sekolah lagi .Beliaulah yang mengimamkan jemaah lain semasa solat jenazah Pak Othman .

     Sejak dari itulah …..

   Belum sempat fikiran aku lebih jauh melayang ke ruang-ruang galaksi yang ada .Aku disergah oleh emakku di hadapan rumah .Tidak sedar kayuhanku telah membawa aku sampai sehingga ke rumah .Emak menegur aku kerana mengayuh basikal tanpa menghiraukan keadaan sekeliling .Aku tersentak ,baru perasan di depan aku sedikit saja lagi tayar basikal mahu terjunam ke dalam lubang najis .Alhamdulillah mujurlah emakku ada .Tidaklah aku terhumban ke dalam lubang tersebut .Memang akan busuk lah aku sehingga sekampung membaunya jika hal itu menimpa aku .

    Keesokan harinya ,aku ke sekolah seperti biasa dengan mengayuh basikal sehidup sematiku yang sentiasa susah bersama senang bersama di kala hujan ribut melanda .Sampai saja aku di kelas 5 Kalsom ,aku memerhatikan tempat duduk Kirana di sebelah hadapan paling bucu dengan jendela .Kehairanan sejenak ,bukankah Kirana juga akan datang awal ke sekolah tiap kali selepas aku datang .Tapi dimanakah keberadaannya sekarang ?.Mungkin agak lewat disebabkan dia dihantar ke sekolah oleh kakak tirinya .Alang-alang kakak tirinya itu mahu ke tempat kerja ,dia akan melintasi hadapan kawasan sekolah dan menurunkan Kirana di situ .Guru Subjek Sejarah sudah tiba di muka pintu sambil mengucapkan salam kepada anak muridnya yang muslim dan selamat sejahtera kepada murid yang bukan muslim .Aku pula dilanda kegelisahan disebabkan keberadaan Kirana yang tidak tahu di ceruk mana .

    “Memang sah si Kirana itu tak dapat datang ke sekolah” ,terdengar bisikan daripada Che Su berkaca mata tepat ke gegendang telingaku .Che Su seakan-akan mengerti kegelisahanku yang runsingkan Kirana kerana dia masih belum datang walaupun sesi pembelajaran sudah dimulakan .Aku yakin ada sesuatu yang tidak kena pada Kirana kerana dia bukanlah seorang pelajar yang suka hati tidak mahu hadir ke sekolah .Dia jugalah yang sentiasa merangkul anugerah Kehadiran 100% setiap tahun berbanding dengan pelajar lain .Cikgu Alin iaitu guru Subjek Sejarah sendiri bertanyakan pada kami semua dimanakah keberadaan Kirana .Namun semua menggeleng tidak tahu ,aku sendiri masih keliru.Kekeliruan itu kubawa hinggalah tamat sesi pembelajaran di sekolah kerana kelibatnya langsung tidak kulihat di mana-mana .

     Seperti biasa kehidupan ,datang menuntut ilmu dan pulang ke pangkuan keluarga .Semestinya laluan kubur itu jugalah yang akan kulalui .Setibanya basikal aku dikayuh perlahan melintasi kawasan itu ,aku melihat dari jauh susuk tubuh seorang perempuan sebaya aku .Sah itu Kirana ,sah lagi bila dia duduk berhadapan dengan tempat pengebumian yang berpayungkan pepohon kemboja putih dan itu tempat pengebumian Pak Othman arwah bapanya .Dari bahagian belakang aku sudah mengenali siapakah dia dan memang itulah Kirana sahabatku .Memang aku ini diberi daya ingatan yang utuh ,aku masih ingat di manakah kubur arwah Pak Othman dan di situlah tempatnya .Aku segera meletakkan basikal aku di luar pagar tanah perkuburan dan bergegas untuk memastikan itulah Kirana .“Ya itu memang Kirana ,Ya Allah apa yang dia buat di sini dan mengapa dia tidak hadir ke sekolah ”,bisik hati kecilku .

    Aku segera menyapa Kirana dan menoleh saja muka dia kearahku ,kelihatan wajahnya yang mulus itu seakan-akan layu bak bunga mawar yang tidak mendapat sumber air sepanjang hari .Mata sepetnya itu seakan-akan tidak dapat dibuka melihat dunia luar kerana kebanjiran air matanya yang dapat kulihat dari jauh .Senyuman di bibir mungilnya masih ada untuk aku walaupun raut wajahnya sepi dan duka .Aku bertanyakan segala kekeliruan yang terapung di mindaku kepadanya .Tenang saja dia menjawab bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana ibunya tidak berapa baik dan langsung tiada ahli keluarga lain yang mampu menjaga ibunya . “Hmmm,bukankah kakak tiri dan abang tiri kau itu ada malahan bapa tiri kesayangan ibu kau itu pasti di sisinya ” tanya aku kepada Kirana . “Mereka bertiga terpaksa berangkat ke luar negeri kerana urusan mustahak ,maksud aku abang kepada bapa tiri aku itu jatuh sakit dan ditahan di ICU ” jawab Kirana .Katanya lagi ,mereka bertiga sepatutnya pulang hari ini tetapi tidak .Panjang dia bercerita .

   Di sini dapat aku simpulkan setelah mendengar jawapan panjang lebar daripada Kirana ,bahawa Cik Murni secara tidak sengaja tergelincir di bilik air semasa Kirana mahu berangkat ke sekolah .Disebabkan ketiadaan orang di rumah juga ,dia perlu menemani ibunya di rumah dan menunggu kepulangan orang lain .Itulah sebabnya dia tidak hadir ke sekolah .Tapi lagi satu aku hairan mengapa dia berada di kubur bapanya pada waktu terik mentari sebegini dan bukannya menemani ibunya di rumah .Belum sempat aku bertanyakan dengan lebih lanjut ,Kirana lekas bangun dan memberitahu bahawa dia ingin ke kedai runcit berdekatan saja dengan Masjid At-Taqwa hasil binaan arwah bapanya dulu . “Ohh kiranya kau mahu ke kedai lah ni ,pastu sebelum tu kau singgah sini sebentar ,Betulkan maksud aku ”? .tanya aku lagi . Memang benar kata Kirana kepadaku .

  Aku berhasrat untuk menumpangkan Kirana ke kedai runcit dengan basikalku kerana aku syak dia sekadar berjalan kaki dari rumah mahu ke sana .Lagipun kelibat basikalnya pun tiada di luar pagar kawasan perkuburan .Serta merta perut aku juga memulas tanpa diundang kehadirannya menyebabkan aku perlu pulang ke rumah dengan segera untuk menyampaikan hajatku meninggalkan si Kirana sendiri menuju ke kedai runcit .Di malam hari ,mata aku mahu saja tertutup tiba-tiba kedengaran ketukan pintu .Siapa lagi kalau bukan emakku ,ada saja malam -malam ini .Lekas aku bangun dalam kepenatan lelahnya mengulang kaji berjam-jam .Emak memberitahu aku bahawa Cik Murni datang ke rumah aku dan bertanyakan keberadaan Kirana satu-satunya anak perempuannya itu .Aku segera berjumpa dengan Cik Murni ,sepintas lalu aku melihat Cik Murni baik-baik saja ,kakinya tidak bengkak ,tidak berjalan terincut-incut seperti orang yang tergelincir bilik air .Adakah kakinya sudah elok?

   Cik Murni seakan-akan gelisah kerana anaknya masih belum pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam .Katanya dia memang tidak pulang ke rumah walaupun sesi pembelajaran di sekolah sudah tamat .Aku musykil ,lagi dan lagi .Sekolah ?Sejak bila dia ke sekolah dan bukan siang tadi aku jumpa Kirana di kubur arwah bapanya itu .Apa yang dikatakan oleh Cik Murni ini memang langsung tidak masuk akal .Tiba-tiba terdengar bunyi telefon bimbitku dari jauh dan aku segera mengangkatnya ,Kemungkinan itu Kirana,walaupun aku sendiri tidak tahu benar atau tidak .Otakku kusut memikirkan apa yang sudah terjadi ,adakah ini mimpi semata-mata atau realiti .Ahhh memang ini realiti bukan mimpi .Saat aku mengangkat telefon itu ,terdengar suara seorang lelaki asing dan nombor telefon itu juga milik orang yang tidak dikenali .

   Apa yang membuatkan aku seperti sulit untuk mentafsir kata-kata lelaki itu ialah katanya ada seorang gadis yang terlibat dengan kemalangan dan memang sudah terpampang di skrin telefon bimbit ditangannya nombor telefonku .Disebabkan itu dia cuba mendail menggunakan telefonnya dan menurutku sah gadis itu memang Kirana sahabatku .

 

 

No comments:

Post a Comment